Hujan lebat akibat beberapa kawasan di Sibu dinaiki air

Anggota APM melakukan operasi pemantauan keadaan banjir.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SIBU, Dis 15: Hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan beberapa kawasan rendah di sekitar kawasan ini dinaiki air banjir, malam ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata,
faktor hujan berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan aliran air dari hulu Sungai Rajang melimpah keluar.

Advertisement

Jelasnya, keadaan tersebut telah menyebabkan beberapa jalan dan kawasan yang rendah sekitar bahagian Sibu dinaiki air sedalam kira-kira satu kaki.

“Antara kawasan yang terjejas ialah di Jalan Stabau, Rumah Suran, Sg Senggan, dan Durin Kiba.

“Bagaimanapun, setakat ini keadaan dilaporkan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya dalam satu kenyataan media malam ini.

Anggota APM melakukan operasi pemantauan keadaan banjir.
Rumah penduduk setempat tidak terjejas akibat banjir.

Jurucakap sama menambah, buat masa ini seramai empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih dalam operasi memantau keadaan semasa.

Katanya, hasil pemantauan mendapati Jalan utama Stabau dan Jalan Rumah Suran Sg Sengan masih dapat dilalui oleh semua kenderaan.

“Namun, Jalan Durin Kiba hanya dapat dilalui oleh kenderaan berat dan kenderaan pacuan empat roda sahaja tetapi rumah penghuni setempat di kawasan tersebut belum terjejas lagi,” katanya. — DayakDaily

Advertisement