Hubungan baik dengan kerajaan pusat bawa kemajuan besar Sarawak, kata Mustapa

Mustapa(tengah) pada sidang media setelah mengadakan dialog bersama komuniti perniagaan di Kuching hari ini.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 JULAI: Hubungan baik kerajaan negeri dan pusat akan bawa kemajuan yang lebih besar kepada Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurut beliau, kerjasama antara kedua-dua kerajaan bertambah erat dengan kehadiran empat menteri dari Sarawak di dalam kabinet yang diketuai Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusuf.

Advertisement

“Sebelum ini kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri hampir tiada tetapi sekarang sudah berubah dan semakin erat.

“Dengan kehadiran empat menteri dari Sarawak yang diketuai Fadillah, saya yakin hubungan baik ini akan bawa kemajuan lebih besar kepada Sarawak,’katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah mengadakan sesi dialog dengan komuniti perniagaan Sarawak dimana beberapa perkara berkaitan perniagaan telah dibincangkan bersama.

Dalam pada itu, Mustapa juga yakin bahawa agenda ekonomi Sarawak yang agresif dengan penekanan kepada ekonomi digital adalah pemangkin kepada pemulihan ekonomi negeri setelah dilanda wabak Covid-19.

Katanya, Sarawak mempunyai agenda tersendiri dan digital ekonomi adalah komponen penting.

“Selain itu saya dimaklumkan bahawa sektor pertanian akan menjadi satu sektor yang diberi perhatian khusus dengan perbincangan berkaitan perdagangan sempadan.

“Perdagangan sempadan ada potensi besar setelah Indonesia akan memindahkan ibukotanya dari Jakarta ke Kalimantan Timur,” ujar beliau.

Malam tadi, Mustapa turut mengadakan perbincangan dengan Ketua Menetri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berkisar kepada pembangunan Sarawak.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion.—DayakDaily

Advertisement