Hospital Sarikei guna sistem air panas solar yang pertama di Sarawak

Sistem Air Panas Solar yang dipasang di Hospital Sarikei untuk Projek Penjimatan Tenaga Secara Energy Performance Contracting (EPC).

KUCHING, 26 Feb: Hospital Sarikei menjadi hospital pertama di negeri ini menggunakan sistem air panas solar.

Melalui projek ini, Hospital Sarikei menggunakan teknologi baharu untuk mengelakkan kebergantungan kepada sistem dandang konvensional dalam penghasilan air panas dan juga untuk mengurangkan penggunaan lampu fluorescent di hospital.

Projek Penjimatan Tenaga Secara Energy Performance Contracting (EPC) Bagi Pemasangan Sistem Air Panas Solar dan Pemasangan LED Di Hospital Sarikei itu telah dirasmikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min pada 14 Februari lepas.


Medicare Sdn Bhd (OMSB), selaku syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital adalah pelaksana kepada projek tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OMSB, Sazali Tuah Neli, projek ini merupakan inisiatif OMSB untuk menaik taraf Conventional Boiler Plant kepada Solar System Hot Water Plant dan penggantian lampu jenis tiub fluorescent kepada tiub LED di Hospital Sarikei.

“Inisiatif ini adalah untuk mencapai sasaran 95 peratus penjimatan daripada penggunaan diesel untuk kegunaan sistem dandang konvensional sedia ada dan penjimatan sebanyak 69 peratus daripada penggunaan tenaga untuk lampu.

“Projek ini bermula pada bulan Februari 2019 dan siap pada 31 Julai 2019. Sistem Air Panas Solar ini telahpun beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2019,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Sazali, sehingga kini, Hospital Sarikei telah mencapai hasil penjimatan sebanyak 79 peratus dalam penggunaan diesel melalui sistem air panas solar ini.

Melalui projek retrofit LED pula katanya, sebanyak 69 peratus telah dijimatkan oleh Hospital Sarikei.

“Pulangan pelaburan projek dijangka akan dicapai menjelang tahun 2025, dengan jangkaan jumlah penjimatan terkumpul secara tahunan sebanyak RM898,000.

“Manakala, jangkaan jumlah penjimatan yang berpotensi untuk dicapai sehingga Januari 2025 adalah sebanyak RM4.4 juta,” ujar beliau lagi.

Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Chin Zin Hing dan Pengarah Hospital Sarikei Dr. Tey Siew Chang. ā€”DayakDaily.

Chen(tiga kiri) merasmikan Projek Penjimatan Tenaga Secara Energy Performance Contracting (EPC) bagi Pemasangan Sistem Air Panas Solar do Hospital Sarikei.