Hospital Medan ATM di Kapit dalam proses persiapan

Peralatan perubatan dibawa masuk ke dalam kapal terbang untuk dihantar dari Kuching ke Sibu.
Advertisement

KUCHING, 6 Mei: Persiapan pembukaan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kapit semakin kemuncak dengan lebih banyak peralatan perubatan dihantar hari ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri berkata beberapa Pegawai Perubatan, Pegawai Tugas Am dan 35 anggota terdiri paramedik, kuartermaster dan pemandu telah diatur gerak ke Kapit.

Jelasnya, pergerakan udara dari Kuching turut membawa bersama peralatan perubatan seperti katil, troli perubatan, komputer, peralatan x-tray, khemah, oksigen dan penghawa dingin mudah alih.

Advertisement

“Selain itu, kelengkapan lain bagi memenuhi keperluan Hospital Medan juga turut dibawa menaiki penerbangan yang berlepas pada jam 2.55 petang hari ini (Khamis).

“Sejurus tiba di Lapangan Terbang Sibu, kumpulan perubatan akan bergerak menuju ke Kapit dengan menaiki tujuh buah trak tiga tan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hospital Medan ATM ini akan didirikan di Dewan Masyarakat Melayu Kapit yang terletak kira-kira 5 Kilometer dari Hospital Kapit. — DayakDaily

Advertisement