Hilang rumah sekelip mata akibat kebakaran

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 21: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Kampung Lusut Jaya 1 di sini musnah terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal terbakar 100 peratus.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.39 malam.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemua penghuni kediaman tersebut telah keluar menyelamatkan diri mereka,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, operasi pemadaman terus dilakukan sehingga api dapat dikawal pada pukul 9.16 malam.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam proses siasatan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.15 malam,” ujarnya lagi. — DayakDaily