Oleh Chris Bishop
KUCHING, Sept 7: Hentikan semua kenyataan berbentuk provokasi yang boleh menyalakan sentimen kaum, agama dan kebencian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Wong King Wei.
Beliau percaya usaha mengekalkan perpaduan sedia ada dan keamanan negara terletak di bahu bersama.
“Akhir-akhir ini segelintir rakyat telah mengeluarkan kenyataan yang mengugat perpaduan kaum di negara ini dan saya percaya individu-individu terbabit telah di bawa ke muka pengadilan.
“Dengan itu, hentikan semua kenyataan berbentuk provokasi,” katanya di Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Perpaduan & Kempen Kibarkan Jalur Gemilang bahagian Kuching, di sini, hari ini.
Tambah beliau, isu ini sering menyentuh soal perbezaan kefahaman mengenai agama, budaya dan kaum masing-masing.
Justeru katanya, perbezaan dan kepelbagaian ini perlu ditangani sebaik mungkin untuk mengelakkan tercetusnya sebarang pekara tidak diingini.
Menurut Wong, Kuching yang telah diisytihar sebagai Bandaraya Perpaduan adalah contoh perpaduan kepada rakyat Malaysia.
“Malaysia harus mencontohi Sarawak dan kita boleh menunjukan erti perpaduan yang sebenarnya,” katanya.
Jelajah Perpaduan & Kempen Kibarkan Jalur Gemilang disertai lebih 100 buah kenderaan yang bergerak dari Bau, Puncak Borneo dan Bangunan Persekutuan Kuching.
Program dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sarawak.
Turut hadir di majlis adalah Ahli Parlimen (MP) Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, Willie Mongin (MP Puncak Borneo), Mordi Bimol (MP Mas Gading) dan Pengarah JPNIN (Sarawak) Dirwana Azool. — DayakDaily