HDC sentiasa memantau isu dan aduan penduduk

Kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Taman Cahaya Sri Tondong.

KUCHING, 20 Ogos: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) hari ini tampil memberi penjelasan sebagai respon kepada kenyataan Timbalan Menteri Perdaganganm Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen, bahawa HDC tidak turun padang bagi menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk di RPR Taman Sri Cahaya Tondong.

Ketua pegawai eksekutif HDC, Mohd Asman Ahmad berkata, HDC sentiasa memantau isu serta aduan penduduk di semua skim dibawah kendaliannya, terutamanya melibatkan kerja-kerja baik pulih dan perkhidmatan pembersihan kawasan guna sama.

Mohd Azman Ahmad

Sementara untuk parit monsun pula, HDC telahpun menghubungi pihak-pihak berkaitan.


Menurutnya, perkhidmatan pembersihan dilakukan secara berkala oleh syarikat swasta dilantik di dalam kawasan guna sama termasuklah membersihkan longkang perimeter (longkang di kawasan sekitar).

Untuk masalah sistem perparitan di taman tersebut, Asman menegaskan bahawa tiada aduan rasmi diterima.

HDC akan sentiasa memberi kerjasama kepada penduduk di semua skimnya, sekiranya isu serta aduan itu disalurkan melalui saluran yang betul.

Kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Taman Cahaya Sri Tondong.

Menyentuh mengenai kerja-kerja menggantikan tiga tangki septik baru di Taman Sri Cahaya Tondong, beliau berkata, HDC menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan mengambil inisiatif meluluskan RM261,549 selepas kerajaan baharu membatalkan peruntukan awal.

Asman turut menjelaskan bahawa isu ruang letak kenderaan tidak seharusnya dibangkitkan kerana penyediaan ruang letak kenderaan adalah mengikut pelan asal, seperti diterangkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian pada perjumpaan bersama penduduk Taman Sri Cahaya Tondong pada Julai 2018.

Beliau menambah, setakat 31 Julai 2019, RPR Taman Sri Cahaya Tondong mempunyai tunggakan yuran penyelenggaraan (MC) sebanyak RM737,058, sementara tunggakan pembayaran bulanan unit-unit rumah kini mencecah RM1.762 juta.

Jumlah itu memberi kesan kepada kerja-kerja baik pulih dan pembersihan yang dilakukan oleh HDC.

Asman bagaimanapun memberi jaminan bahawa HDC komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselesaan semua penduduk.— DayakDaily