This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 29 Ogos: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melantik seramai 14 orang selebriti dan pempengaruh sebagai Rakan Strategik.
HASiL dalam satu kenyataan hari ini berkata, Rakan Strategik yang dilantik terdiri daripada individu yang berbeza latar belakang.
Antaranya ialah individu dalam bidang lakonan, pengacaraan, nyanyian, perubatan, gaya hidup, pengurusan kewangan, pelaburan dan insurans.
“Pelantikan mereka sebagai ejen HASiL bertujuan untuk menyebarluas maklumat cukai yang sahih kepada orang ramai.
“Memberikan pendidikan dan kesedaran cukai selain turut menjadi platform pelaksanaan tanggungjawab sosial selebriti dan pempengaruh kepada negara,” katanya.
Menurut HASiL, antara objektif pelantikan ini dilaksanakan adalah bagi meningkatkan kadar pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan selebriti dan pempengaruh.
Ia termasuk penyampaian mesej-mesej percukaian secara santai dan berkesan, menggiatkan lagi promosi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS 2.0) di platform media sosial.
Selain itu juga, Rakan Strategik HASiL ini akan bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan HASiL dengan orang awam menerusi paparan serta hantaran maklumat percukaian yang kreatif, padat dan menarik serta mudah difahami oleh rakyat.
Senarai Rakan Strategik HASiL bagi tahun 2023/2024 ialah Nurul Iman Abdul Rahim, Siti Hawa Mohd Nor, Nur Aliah Mohd Nor, Adzren Adnan, Ahmad Faiz Azmi, Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Mohd Asri Ahmad, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin, Ang Chun Leong, Hazama Ahmad Azmi, Ahmad Nabil Ahmad, Muhammad Khairul Baharuddin, Sean Lee Jia Ern dan Ridzuan Haqiem Rusli. — DayakDaily