Hari Belia Sarawak 2024 tampil Anugerah Belia Wanita, Lelaki dan Persatuan Negeri

Abdul Karim (duduk tengah) pada sidang media Sambutan Hari Belia Sarawak 2024.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 26 Nov: Hari Belia Sarawak 2024 bakal mengiktiraf individu lelaki dan wanita serta persatuan belia negeri yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara utama ialah Anugerah Belia Negeri Lelaki dan Wanita, dan Anugerah Persatuan Belia Negeri.

Advertisement

“(Pemenang) Anugerah Belia Negeri Lelaki dan Wanita akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 setiap seorang.

“Manakala Anugerah Persatuan Belia Negeri menerima RM10,000, dan naib johan menerima RM7,000,” kata Abdul Karim pada sidang media di Kuching hari ini.

Hari Belia Sarawak 2024 akan diadakan di Kingwood Beach Resort, Mukah mulai 4–8 Disember depan.

Tambah Abdul Karim, pencapaian belia juga diiktiraf melalui percubaan untuk mencipta Malaysia Book of Records.

Katanya, pada tahun lepas kementerian telah berjaya mencipta rekod bersama belia-belia di kawasan Kapit.

Rekod yang telah dicapai adalah menghasilkan bendera negeri terbesar yang diperbuat daripada sulaman manik bersaiz 4.89m x 2.44m.

“Bagi tahun ini pula, kita bakal mencipta sebuah lagi rekod baru melalui penglibatan belia Bahagian Mukah.

“Rekod yang bakal dicipta pada tahun ini adalah ‘Most Bottle Caps Used On Wall Mural’,” ujar Abdul Karim.

Lebih 5,000 orang penduduk Mukah dan luar Bahagian Mukah dijangka akan memeriahkan Sambutan Hari Belia Sarawak kali ini.

Bagi pentas persembahan tahun ini, konsert komuniti iaitu Soul Concert akan menampilkan kemunculan khas selebriti Malaysia Amy Search. — DayakDaily

Advertisement