‘Hargai bantuan wang ihsan banjir daripada kerajaan’

Buang (tengah) bersalam dengan barisan ketua masyarakat.

ASAJAYA, April 14: Seramai 125 ketua isi rumah di daerah ini yang terjejas akibat banjir teruk pada awal tahun ini mendapat bantuan wang ihsan daripada kerajaan hari ini.

Majlis penyerahan bantuan wang ihsan itu telah disampaikan oleh Mejar Bersekutu (PA) yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Buang Bolhassan.

Beliau mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.


Ketika berucap dalam majlis tersebut, Buang memberitahu, tiada negara di dunia ini yang memberikan bantuan seumpamanya kepada rakyat mereka yang ditimpa bencana alam.

Jelasnya, masyarakat umum di negara ini amat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang prihatin dengan kebajikan serta masalah yang menimpa rakyat mereka.

“Hargailah bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini dengan terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini bukannya bermotifkan politik tetapi ia menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang berdepan dengan musibah,” katanya.

Baliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan Daerah Asajaya di Dewan Panca Delima, SMK Laila Taib, Asajaya di sini hari ini.

Hadir sama ialah, Pengarah Bahagian Teknikal dan Infrastruktur, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Dato’ Ir Rohaizi Mohd Jusoh, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sarawak, Kolonel (PA) Mohtar Samat.

Sementara itu, Buang menambah, wang ihsan juga diberikan kepada setiap mangsa banjir tanpa mengira kecenderungan dan perbezaan fahaman politik

“Kerajaan menerusi agensi berkaitan menyalurkan bantuan secara adil dan saksama,” katanya lagi. — DayakDaily