Harga minyak sawit botol turun mulai 8 Nov ini

Nanta ketika ditemui wartawan di Kota Samarahan.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 2 Nov: Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol 1kg dan 2kg berkuat kuasa 8 November hingga 7 Disember 2022 masing-masing adalah RM6.90 dan RM13.30.

Bagi botol 3kg dan 5kg pula ialah RM19.60 dan RM30.90.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan meneruskan kawalan harga yang telah dilaksanakan sejak 8 Ogos lepas.

“Ini susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai komitmen kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga minyak masak sawit tulen botol 1 kilogram hingga 5 kilogram.

“Kerajaan telah melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang minyak mentah kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Peranti Siswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.

Terdahulu harga minyak masak botol 1kg ialah RM7.10, 2kg (RM13.50), 3kg (RM19.90) dan 5kg ialah RM31.50.

Tambah Nanta, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Katanya, individu boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000. — DayakDaily