KUCHING, 10 Mei: Harga runcit petrol RON97 akan turun 10 sen seliter, manakala harga runcit petrol RON95 dan diesel akan kekal untuk tempoh 11-17 Mei.
Menurut kenyataan media Kementerian Kewangan di laman sesawangnya www.treasury.gov.my hari ini, harga runcit petrol RON97 akan turun kepada RM2.70 seliter.
Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter dan harga runcit diesel kekal pada paras RM2.18 seliter.
Kementerian menjelaskan bahawa berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.40 seliter dan RM2.45 seliter masing-masing.
“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kementerian berkata.
Anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh mingguan 11-17 Mei, 2019, adalah berjumlah RM103.76 juta. — DayakDaily