This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 12 Sept: Harga daging babi di sekitar Kuching sedikit turun jika dibandingkan dengan beberapa bulan yang lalu.
Tinjauan di Pekan Batu 10 di Kota Padawan mendapati samcam babi dijual dalam lingkungan harga RM35–RM38 sekilogram.
“Memang ada sedikit penurunan harga daging babi buat masa ini jika dibandingkan beberapa bulan yang lalu.
“Pada Mei dan Jun lepas, harga samcam babi melebihi RM40 sekilogram,” kata seorang penjual di Pekan Batu 10.
Menurut beliau, kenaikan harga yang begitu mendadak ketika itu adalah disebabkan kurangnya bekalan daging babi.
Katanya, bekalan daging tersebut berkurangan kerana banyak babi di ladang ternakan mati akibat penyakit yang tidak diketahui.
“Ini adalah punca harga daging babi naik mendadak ketika itu.
“Penternak mengalami kerugian kerana babi yang dijangkiti juga tidak boleh dijual,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengatasi isu kekurangan bekalan, peniaga turut menjual daging babi import yang harganya lebih murah.
Namun ujarnya, daging import dari negara Eropah kurang laku kerana ia tidak segar.
“Rasanya juga kurang sedap jika dibandingkan dengan daging babi tempatan.
“Rata-rata pembeli mahukan daging serta tulang babi tempatan,” katanya lagi.
Beliau yakin jika penyakit babi ini dapat dikawal di peringkat ladang, kemungkinan harga daging tersebut boleh turun lagi. — DayakDaily