KUCHING, 11 Nov: Jika harga daging babi tempatan di pasaran kekal tinggi, pengguna boleh memilih untuk mendapatkan daging babi import yang jauh lebih murah.
Itu luahan penjual daging babi di Pasar Kota Sentosa yang turut memaklumkan bahawa babi tempatan kini semakin sukar diperolehi.
Katanya, harga daging ‘samcam’ tempatan dimana-mana pasar di sekitar Kuching kini di paras RM42 sekilogram.
Menurut beliau, harga yang tinggi ini ditentukan di peringkat ladang dan tidak diketahui sebabnya.
“Mungkin pihak kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk mengawal harga ini.
“Kita sebagai penjual tidak tahu apa alasannya, sudah sekian lama harga samcam ini RM42, sangat mahal.
“Tidak semua pengguna boleh membayar harga semahal ini, justeru mereka boleh memilih untuk membeli daging babi import,” katanya ketika ditemui DayakDaily hari ini.
Di Pasar Kota Sentosa, samcam dan tulang babi import (sejuk beku) dijual dengan harga RM25 sekilogram.
Kebanyakan daging babi import ini datang dari negara Denmark, Sepanyol dan Amerika yang diperolehi dari pembekal.
Seorang lagi peniaga di Pasar Kota Sentosa yang turut terkesan akibat kenaikan harga daging babi tempatan juga memilih untuk menjual daging babi import.
Katanya, seekor babi tempatan yang dijual di peringkat ladang boleh mencecah harga lebih RM4, 000.
“Harganya mahal, kalau tidak habis dijual saya rugi. Ada jaminan atau tidak ia habis dijual.
“Justeru saya memilih untuk menjual daging babi import,” katanya
Dalam pada itu, Tinjauan DayakDaily di Pasar Sungai Maong, Pasar Kota Sentosa dan Pasar Stutong mendapati tiada tanda harga yang diletakan pada setiap bahagian babi yang dijual.
Ini memberi kesukaran untuk pengguna mengetahui harga standard dan sentiasa terpaksa bertanyakan harga. — DayakDaily