Harden gesa rakyat daftar suntikan vaksin Covid-19 melalui MySejahtera

Empat dari kiri: Mong, Harden dan Snowdan selesai suntikan vaksin di Hospital Sri Aman.

KUCHING, 1 Mac: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden menggesa rakyat Sarawak untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, pendaftaran boleh juga dibuat secara manual melalui tuai rumah dan ketua kampung di kawasan masing-masing.

“Tanggungjawab kerajaan adalah untuk menyediakan vaksin, manakala tanggungjawab rakyat pula adalah untuk memberi kerjasama dengan mengambil suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui di Program Suntikan Vaksin Kebangsaan di Hospital Sri Aman hari ini.

Tambah Harden yang juga Adun Simanggang, rakyat tidak perlu risau akan kesan sampingan vaksin kerana proses membuat vaksin telah melalui ujian yang ketat oleh para saintis perubatan.

Menurut beliau, tujuan suntikan vaksin adalah untuk menguatkan kekebalan tubuh badan melawan jangkitan Covid-19 yang telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia.

“Suntikan vaksin yang dilakukan bertujuan memberi tauladan kepada masyarakat bahawa kerajaan negeri Sarawak bersungguh-sungguh mengekang penularan pandemik Covid-19 dengan memastikan setiap rakyat diberi vaksin,” ujar beliau.

Selain Harden, turut menerima suntikan hari ini Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Adun Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan dan Adun Bukit Begunan Datuk Mong Dagang. — DayakDaily