Hanya orang Sarawak boleh jaga Sarawak, Abang Johari

Penerima-penerima warta rizab komunal bumiputera di bawah Seksyen 6 dan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negri merakamkan kenangan bersama Abang Johari.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 13 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat Sarawak hanya mereka yang mampu menjaga negeri sebaik-baiknya.

“Ingat pesan Tok Nan (bekas ketua menteri, mendiang Pehin Sri Adenan Satem), jaga Sarawak baik-baik, hanya orang Sarawak boleh jaga Sarawak.

“Orang Sarawak tahu budaya kita yang berbilang kaum dan agama sebab itulah kita lancarkan Program Sarawakku Sayang di Samarahan ini,” katanya ketika melancarkan Program Sarawakku Sayang di Dataran Terbuka, di sini hari ini.

Berucap di majlis tersebut, Abang Johari menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menjaga kesejahteraan Sarawak.

Menurut beliau, kerajaan negeri sekarang meneruskan usaha pemimpin-pemimpin terdahulu, khususnya Adenan, yang memberi tumpuan pada pembangunan luar bandar.

“Di bawah RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12), iaitu dari tahun 2020 hingga 2025, pasukan Tok Nan dipimpin beliau telah merancang dari semasa ke semasa mengubah asas ekonomi kepada ekonomi digital.”

Ia adalah untuk menjadikan Sarawak negeri maju dalam Malaysia menjelang 2030, katanya.

“Dalam tempoh RMK12, kerajaan akan meneruskan usaha menyediakan bekalan elektrik, air, jalan raya serta jambatan untuk menghubungkan semua kawasan khususnya di luar bandar.

“Selain itu, kerja-kerja menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi mengiktiraf hak pemilikan terhadap tanah NCR juga diteruskan.

“Kerajaan negeri juga akan membangunkan sektor pelancongan kerana ia terbukti antara penyumbang pendapatan negeri dan seterusnya membangunkan bakat anak Sarawak,” katanya.

Abang Johari (lima kiri) menyerahkan warta rizab komunal bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanaun Tanah Negeri kepada seorang wakil penerima di Samarahan.

Program Sarawakku Sayang adalah salah satu strategi kerajaan Sarawak untuk terlibat secara dekat bersama rakyat.

Kaedah turun padang itu bertindak sebagai pusat setempat untuk rakyat mendapatkan akses secara langsung bagi khidmat dan produk, khidmat nasihat dan lain-lain aktiviti.

Selain itu, orang awam akan didedahkan dengan pelbagai inisiatif ketua menteri dan fasa perkembangan dalam pembangunan yang telah dijalankan oleh kerajaan Sarawak bagi meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup rakyat.

Ia merupakan satu peluang bagi orang awam sekitar Kota Samarahan, Simunjan, Kuching, Serian, Bau dan kawasan sekitarnya yang lain untuk mendapatkan akses tentang khidmat kerajaan, maklumat dan khidmat nasihat daripada agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat berkenaan dengan pelbagai perkara.

Program mempamerkan lebih daripada 100 booth yang menawarkan pelbagai khidmat kerajaan, pameran, jualan produk tempatan, aneka makanan dan minuman, persembahan pentas dan juga cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyerahkan warta rizab komunal bumiputera di bawah Seksyen 6 dan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada 189 orang penerima dari Bahagian Samarahan. — DayakDaily