Hampir keseluruhan peniaga Kapit beralih kepada ‘cashless system’

Nanta (kanan) menyampaikan Sijil Penghargaan Kerjasama Rakan Strategik Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 April: Hampir keseluruhan peniaga pasar di Kapit sudah beralih kepada ‘cashless system’, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Nanta yang juga MP Kapit berkata, digitalisasi pengguna merupakan ‘way forward’ pada masa kini dengan perbankan atas talian menjadi pilihan rakyat.


Katanya, Pay Wave, QR Pay dan e-wallet bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan masyarakat.

“Membeli durian pun sudah boleh dibuat secara online.

“Justeru, pengguna dan peniaga di Malaysia harus diberikan pendedahan yang berterusan berkaitan aspek kebaikan dan tipu-muslihat yang datang seiring dengan teknologi digital ini,” katanya.

Nanta berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak di sebuah hotel di sini, malam ini.

Tambah Nanta, diharapkan internet dan teknologi komunikasi yang menjadi ‘enabler’ untuk mempercepatkan adaptasi teknologi digital dapat dipercepatkan, diperluaskan dan ditambah kapasitinya.

Menurut beliau, ia harus menjangkau ke kawasan pendalaman seperti Sabah dan Sarawak.

“Sehingga akhir bulan lepas, daripada keseluruhan aduan yang diterima kementerian, 36.45 peratus atau 24,150 aduan adalah berkaitan transaksi atas talian.

“Ini memberi indikasi bahawa sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan apabila berlakunya sebarang salah laku oleh peniaga,” ujar beliau.

Namun begitu katanya lagi, kita tidak boleh berpuas hati dan advokasi perlu diteruskan melalui pelbagai platform untuk membantu masyarakat menjadi pengguna yang berdaya upaya, berani bertindak, membuat aduan dan membuat tuntutan tebus rugi.

Bagi memperkasakan digitalisasi pengguna, KPDNHEP telah membangunkan mobilapps ez-Adu untuk memudahkan penyaluran aduan sekaligus memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.

“Kita telah pun beralih ke fasa endemik pada 1 April namun pelaksanaan segala program pada tahun 2022 hendaklah dirancang dengan teliti walaupun dijalankan secara fizikal dan bersemuka dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa,” ujar Nanta.— DayakDaily