Halia Dayak semakin mendapat permintaan di bandaraya Kuching

Ajit menunjukkan halia Dayak yang dijual di gerainya pada Program My Best Buy (MBB) Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Seluruh Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya.
Advertisement

KUCHING, Mac 1: Halia Dayak yang ditanam secara pertanian berpindah randah di kawasan tanah tinggi dan bergunung sekitar Bau, Bengoh dan sempadan negeri ini semakin mendapat permintaan di bandaraya ini.

Ini diakui, Ajit Francis, 66, yang menjadi penjual halia tersebut dan mendedahkan ketika ini beliau mampu menjual lebih 200 kilogram halia Dayak seminggu dengan membuka gerai sayuran di bandaraya ini.

“Saya biasanya mampu menjual lebih 200 atau adakalanya sehingga 250 kilogram halia Dayak ini setiap mingggu. Ianya mendapat permintaan tinggi disebabkan rasanya lebih pedas dan tidak pahit seperti halia tempatan biasa atau diimport ditambah isinya yang tidak berserabut,” katanya ketika membuka gerai Program My Best Buy (MBB) Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Seluruh Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya, di sini, semalam.

Advertisement

Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Kementerian Permodenan Pertanian dan Ekonomi Luar bandar tersebut disertai 44 peserta yang membuka gerai menjual pelbagai buahan, sayuran dan produk pertanian dengan potongan harga menarik yang bermula semalam dan berakhir hari ini.

Gerai Ajit pada Program My Best Buy (MBB) Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Seluruh Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, Petra Jaya.

Ajit berkata bekalan halia Dayak dan sayuran lain di gerainya di perolehi dari penduduk Kampung Tasik Biru dan sekitar tanah tinggi Bau, Bengoh dan di sempadan yang masih bercucuk tanam secara pindah randah dan kurang mengunakan baja kimia bagi menyuburkan tanaman mereka.

“Halia Dayak ini hidup subur di kawasan gunung dan tanah tinggi di Bau, Bengoh serta sempadan negeri ini kerana penduduk menanamnya secara berpindah randah dan membersihkan tapak kebun dengan membakar tapak tanah terbabit supaya abunya menyuburkan tanaman halia ini,” katanya.

Beliau berkata ketika ini gerainya menjual halia tersebut pada harga RM14 sekilogram di program terbabit manakala RM15 sekilogram jika membuka gerai di tempat lain dan mendedahkan di tempat lain halia dari kawasan tanah tinggi sedemikian akan dijual pada harga RM25 sekilogram.

Ajit yang juga pesara guru mendedahkan jualan halia Dayak dan sayuran lain yang diperolehinya dari kawasan tanah tinggi dan bergunung terbabit mampu memberikannya jualan mencecah RM10,000 sebulan dan pendapatan bersih antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan. — DayakDaily

Advertisement