Hakemal Hawari dilantik Ketua Polis Daerah Miri baru

Fisol (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Lim (kiri) dan Hakemal.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 28 Dis: Timbalan Komanden Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner (ACP) Hakemal Hawari dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Miri baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan ACP Lim Meng Seah yang berpindah ke jabatan forensik di Bukit Aman.


Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Pejabat Polis Daerah Miri (IPD Miri) di sini pagi ini dan disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Fisol Salleh.

ACP Hakemal Hawari

Hakemal, 53, yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, dalam ucapan ringkas selepas majlis serah terima, menyifatkan perlantikan tersebut satu kepercayaan dan tanggungjawab besar daripada kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia satu jawatan yang saya kira amat berat, dan saya akan memberikan sepenuh komitmen untuk menggalas tangungjawab ini. Harapan saya, warga IPD Miri dapat memberi kerjasama penuh kepada saya dalam usaha menambah baik perkhidmatan kepada masyarakat di Miri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fisol menyifatkan mantan Ketua Polis Daerah Miri, Lim, 54, ketua polis daerah yang cekap dan komited sepanjang berkhidmat di daerah ini selama tiga tahun tujuh bulan. — DayakDaily