GYF20 pupuk idea dan inovasi baharu

Dr. Mohd Azlan Yahya

KUCHING, 4 Feb: Forum Keusahawanan Koperasi Belia Global 2020 (GYF20) pupuk idea dan inovasi baharu dalam bidang belia dan keusahawanan koperasi, kata Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) Dr. Mohd Azlan Yahya.

Berucap pada Makan Malam GYF20 di sebuah hotel di sini malam tadi, beliau percaya forum menjadi titik permulaan dan inspirasi kepada peserta untuk mengemukan idea, penyelesaian dan cadangan baharu dalam bidang berkaitan.

“Dalam dewan ini kita ada generasi masa hadapan yang memiliki pemikiran hebat tetapi mereka menghadapi cabaran besar.


“Saya percaya koperasi boleh menyediakan persekitaran selamat yang akan membantu mereka menghadapi pelbagai cabaran seperti dari sudut ekonomi, sosial dan politik melalui inovasi dan pemikiran kreatif,” katanya.

Seramai lebih 200 perwakilan terdiri daripada golongan belia dari 107 buah negara menyertai forum yang diadakan selama lima hari bermula 3 hingga 7 Februari 2020.

GYF20 bertujuan untuk menyatukan belia koperasi dan bukan koperasi dari seluruh dunia.

Ia menyediakan latihan berkualiti dan bengkel, perkongsian idea dan latihan rakan sebaya untuk mengembangkan rangkaian dalam meneroka peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu melalui model kerjasama.

Forum mengumpulkan semua peserta dan penceramah utama dari kerajaan Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Institusi Eropah, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta wakil-wakil daripada pertubuhan belia dan gerakan koperasi.—DayakDaily