Guru wanita lesap wang RM31,600 akibat terpedaya ‘parcel scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 7: Seorang guru wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian RM31,600 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi bungkusan atau ‘parcel scam’.

Kejadian menimpa guru berusia 50 tahun itu dilaporkan berlaku antara Mei hingga Nov 6 ini (semalam).


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, wanita tersebut dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya seorang juruterbang dan berpangkalan di United Kingdom menerusi aplikasi Instagram.

Katanya, selepas beberapa bulan berkenalan dengan juruterbang yang menyamar sebagai John Tsang @ Mohd. Adhaeen itu, lelaki berkenaan berkata kemudian akan menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa.

“Selepas itu, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan bahawa bungkusan hadiah yang dikirim oleh juruterbang berkenaan sudah sampai.

“Bagaimanapun, mangsa perlu membuat bayaran sebanyak RM14,300 dan RM12,800 untuk mendapatkan bungkusan hadiah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang terpedaya kemudian membuat pembayaran seperti yang diarahkan oleh suspek.

Katanya, tidak cukup dengan itu, suspek juga mengarahkan mangsa membayar bayaran bunga harian sebanyak RM4,500 kepada sebuah syarikat penghantaran.

“Jika mangsa tidak membuat sebarang bayaran, suspek mengugut pula untuk menyebarkan gambar lucah mangsa dalam media sosial.

“Suspek juga meminta bayaran sebanyak RM627,672.73 daripada mangsa sekiranya tidak mahu gambar lucah dia ditularkan,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. — DayakDaily