KUCHING, Feb 1: Seorang guru lelaki mendakwa kerugian kira-kira RM6,000 selepas sebuah motosikal dan beberapa barangan peribadinya dilarikan oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Kampung Semariang di sini, semalam.
Sumber berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, suspek telah meminta bantuan guru berusia 28 tahun tersebut menghantarnya pulang ke kampung berkenaan.
Kata sumber, tanpa sebarang perasaan curiga, guru yang menyewa di Taman Matang Jaya di sini kemudian menghantar suspek yang ketika itu berpakaian kurta berwarna putih dan berkopiah.
“Tetapi, apabila tiba di sebuah lokasi, suspek kemudian meminta guru itu memberhentikan motosikal sebelum menawarkan diri membawa motosikal guru tersebut ke kampungnya.
“Tanpa prasangka buruk, guru terbabit kemudian membenarkan suspek menunggang motosikal jenis Honda Dash,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber menambah, namun sebaik tiba di kawasan Perkuburan Islam Jalan Sultan Tengah, Semariang, suspek kemudian menyamun mangsa dengan mengugut menggunakan parang dan jarum suntikan mengandungi cecair jernih.
Ujar sumber lagi, risau dirinya dicederakan, guru terbabit kemudian menyerahkan barangan berharga miliknya termasuk dokumen peribadi.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal guru tersebut.
“Buat masa ini, pihak polis masih memburu suspek berkenaan,” katanya lagi. — DayakDaily