KUCHING, 30 JUN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak para guru supaya sentiasa peka dengan hasrat semua pihak yang berkepentingan dalam bidang pendidikan.
Katanya, ia bukan hanya daripada kalangan ibu bapa murid itu semata-mata, tetapi tuntutan tamadun bangsa dan trend pembangunan dunia seluruhnya.
“Saya mahu melihat anak-anak Sarawak, dalam bidang pendidikan bukan tampil dengan jaguh kampung sahaja tetapi jaguh dunia,yang fikiran mereka bertaraf dunia.
“Jaguh-jaguh yang begini sahaja yang layak dan mampu membawa Sarawak ke tahap dunia,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2020 di sini, hari ini.
Kagum dengan peranan yang telah dimainkan para guru selama ini, Abang Johari yakin mereka akan sentiasa bersedia menabur bakti dengan berbekalkan pengetahuan, keupayaan, keazaman serta wawasan.
Katanya, Ia menjadi penggerak dan pembina modal insan serta pembina generasi yang berilmu dan berketrampilan tinggi.
“Kita menaruh keyakinan yang tinggi bahawa murid-murid hasil didikan para guru ini pasti akan menjadi modal insan yang diperlukan oleh semua pihak yang yakin dengan tahap keupayaan mereka dalam bidang masing-masing,” ujar beliau.
Menurut Abang Johari, tenaga serta kepakaran mereka ini sangat diperlukan untuk mengekalkan kelangsungan kemajuan dan pembangunan fizikal, pembangunan asas dan utiliti diSarawak.
Beliau juga mengingatkan para guru untuk bersedia menerima perubahan dan memperkukuh kompetensi masing-masing bagimembina negara bangsa melalui sistem pendidikan negara yang mantap berasaskan ilmu, nilai dan budaya.
Dengan sumbangan jasa guru-guru yang berkualiti tinggi, anak didik khususnya di Sarawak akan muncul sebagai insan yang cemerlang dan berkualiti serta setanding dengan bangsa lain di seluruh pelosok dunia.
Sambutan Hari Guru 2020 bertemakan Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru, ia menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu bagi memenuhi kehendak yang tertulis dan tercatat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.—DayakDaily.