Guru dan bekas pelajar menjana RM40K dari projek fertigasi cili, sumbang kerusi untuk sekolah

Hasil tuaian pasukan Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong pada musim ini.

KUCHING, 1 Julai: Pasukan guru dan bekas pelajar SMK Kidurong di Bintulu yang mengusahakan Projek Cili Fertigasi KidSS di kawasan lapang sekolah itu telah menyerahkan sumbangan sebanyak 50 kerusi kepada sekolah itu, hari ini.

Sumbangan 50 kerusi yang bernilai RM1,500 disampaikan ketua pasukan dan pengurus projek, Narawi Mohamad, 46, kepada Pengetua SMK Kidurong, Rosli Salleh dan kerusi bagi digunakan sekolah itu yang ketika ini ada seramai 2,430 pelajar.

Narawi Mohamad, (empat dari kiri) melakukan penyerahan simbolik dari pasukan Projek Cili Fertigasi KidSS kepada Pengetua SMK Kidurong, Rosli Salleh di sekolah itu hari ini.

Narawi berkata pasukannya disertai dua guru sekolah itu iaitu dirinya dan Mohd Radzi, seorang bekas pelajar dan empat pekerja separuh masa sudah menuai lebih empat tan cili dari projek itu pada musim ini dan menjana pendapatan sebanyak RM40,000.

Projek terbabit dilaksanakan pasukan itu di tanah seluas hampir satu ekar di kawasan lapang sekolah terbabit dan merupakan projek kerjasama dengan Koperasi SMK Kidurong sejak 2018.

“Musim ini pasukan kami berjaya menuai sehingga empat tan cili yang menjadi rekod tuaian baharu, itupun pada awalnya banyak pokok cili yang rosak,” katanya kepada DayakDaily hari ini.

Pekerja separuh masa yang menuai Projek Cili Fertigasi KidSS di SMK Kidurong pada musim ini.

Narawi berkata ketika ini mereka masih lagi menuai cili dari projek terbabit dan tidak lama lagi pokok cili terbabit akan dimusnahkan bagi memulakan musim penanam baharu.

Katanya hasil pendapatan penanaman projek cili terbabit pada musim ini sudahpun diagihkan kepada koperasi sekolah dan juga kepada pelabur projek termasuk kalangan guru.—DayakDaily