Gurdwara Sahib bakal jadi tarikan pelancong di Bandaraya Kuching – Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek RM1.5 juta keoada Dr Kalwinder.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Julai: Kuil Sikh Gurdwara Sahib dan kawasan sekitarnya berpotensi menjadi satu lagi kawasan tarikan pelancong di Bandaraya Kuching.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kawasan tersebut adalah merupakan stesen utama bagi Sistem Transit Aliran Ringan (ART) yang kini dalam pelaksanaan.


“Ia satu kawasan komersial yang sangat penting di Bandaraya Kuching khususnya dari sudut pengangkutan awam.

“Sudah tentu jika pelawat datang menggunakan ART, mereka akan melihat dan ingin mengunjungi kuil ini.

“Kuil ini akan menjadi satu kawasan tarikan pelancong,” katanya di Majlis Pecah Tanah Bangunan Tambahan Kuil Sikh Gurdwara Sahib di sini, hari ini.

Selain Kuil Sikh tambah Abang Johari, di sebelahnya adalah Masjid Bandaraya Kuching dan di sebelah yang satu lagi adalah Gereja St Thomas Cathedral.

Manakala, di sebelah Carpenter Street pula wujudnya sebuah kuil cina.

“Walaupun kita memiliki banyak tempat ibadah di satu kawasan ini, kita hidup dalam satu komuniti.

“Inilah keistimewaannya, ini harus kita pelihara dan tiada negara boleh membangun jika rakyatnya tidak bersatu,” ujar Abang Johari.

Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan cek RM1.5 juta sebagai peruntukkan tambahan bagi membina bangunan tambahan Kuil Sikh Gurdwara Sahib dan RM1.2 juta bagi Kuil Sikh Miri.

Terdahulu pada tahun 2019, Abang Johari telah meluluskan peruntukkan RM3.5 juta bagi Kuil Sikh Gurdwara Sahib.

Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Dougals Uggah dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Presiden Persatuan Kuil Sikh Sarawak Dr Kalwinder Singh Khaira. — DayakDaily