KUCHING, 21 Dis: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) meminta penduduk sekitar bandaraya menggunakan air dengan cermat dan menyimpan bekalan yang mencukupi ketika musim perayaan Krismas yang bakal menjelang.
Ini berikutan pihaknya menjangkakan kadar penggunaan air akan meningkat di bahagian terbabit bersempena perayaan itu nanti dan berkemungkinan akan berlakunya gangguan bekalan air.
“Oleh itu, para pengguna disarankan untuk menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan masing-masing sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan air ke rumah,” menurut kenyataan JBALB bahagian Kuching kepada pelanggannya yang disiarkan di laman Facebooknya.
Jabatan tersebut berkata pihaknya akan mempunyai pasukan penyelangaraan yang bersiap sedia menangani sebarang aduan dan laporan gangguan bekalan air dari penduduk Kuching ketika cuti perayaan itu nanti.
“Para pengguna yang mempunyai sebarang aduan dan laporan diminta untuk menghantar mesej (terbabit) melalui laman Facebook kami,” katanya.
Sementara itu, JBALB Sarawak di laman Facebooknya, mendedahkan sebanyak 14 kenderaan baru telah diserahkan kepada kakitangannya di ibu pejabat jabatan itu di Citadinee Uplands, Jalan Simpang Tiga, di sini, semalam.
Pengarah JBALB Sarawak Chang Kuet Shian menyempurnakan penyerahan terbabit kepada kakitangan jabatan dari setiap bahagian. Majlis penyerahan turut dihadiri timbalan pengarah (Teknikal) Thomas Lucas Santang. — DayakDaily