
KUCHING, 4 Oktober: Rakyat Sarawak harus menilai sendiri, kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia mengkaji semula perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata kerajaan pusat dibawah Pakatan Harapan (PH) telah berjanji menghapuskan cukai terbabit dan memasukkan janji itu dalam menifesto mereka pada pilihan raya umum yang lepas.
“Rakyat pula percaya dahulu dan mereka (PH) telah menang disebabkan janji terbabit serta dihapuskan GST, tetapi sekarang mahu mengembalikannya semula.
“Kamu (rakyat Sarawak) boleh membuat penghakiman sendiri mengenai hal ini,” katanya ketika mengadakan sidang media Showcase Sarawak Kids Got Talent 2019, di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.
Fatimah mengulas kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang telah menyatakan kerajaan pusat bersedia mengkaji semula perlaksanaan GST bagi melihat sama ada ia lebih baik daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sekiranya itu kehendak rakyat.
Ini berikutan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), yang berharap kerajaan memperkenal semula GST dalam Belanjawan 2020 untuk menutup jurang kewangan kerajaan dan kerana cukai kepenggunaan itu juga sistem percukaian yang adil dan cekap, berbanding sistem SST.
Selain janji menghapuskan GST, Fatimah juga berharap rakyat Sarawak dapat membandingkan pelbagai janji lain yang dilaungkan Pakatan ketika pilihan raya umum lepas dengan keadaan sebenar sekarang selepas PH menawan Putrajaya.
“Ini seperti janji penghapusan PTPTN, penurunan harga barang dan keadaan hutang negara yang mahu dikurangkan,” katanya.
Katanya, kerajaan Pakatan juga telah berjanji memberikan royati minyak dan gas 20 peratus kepada Sarawak sekiranya menawan Putrajaya tetapi baharu-baharu ini perdana menteri sendiri telah menyatakan janji terbabit tidak dapat dilaksanakan.
“Dengan itu, saya berharap rakyat (Sarawak) buat penghakiman yang adil dan siapa yang kamu percaya untuk menjaga kamu sekarang,” katanya sambil tidak menaruh sebarang harapan kementeriannya akan ada menerima peruntukan dalam Belanjawan 2020 kerajaan pusat.
“Saya boleh berharap kepada bajet negeri sajalah, macam itu sajalah, saya rasa seperti sudah berputus asa untuk berharap mendapatkan peruntukan dari kerajaan pusat,” tambahnya. — DayakDaily