GPS tidak tolak kemungkinan terima parti tempatan lain


KUCHING, Julai 19: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menolak kemungkinan untuk menerima penyertaan parti tempatan lain dalam pakatan berkenaan.

Buat masa ini, GPS dianggotai empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Naib Presiden PBB, Dr Annuar Rapaee berkata, rakyat negeri ini perlu sedar dan memahami pendirian kerajaan negeri membentuk GPS.


Katanya, ini kerana hanya parti tempatan sahaja yang mengetahui keperluan dan kehendak untuk rakyat di Bumi Kenyalang.

“Tidak salah jika menerima penyertaan parti lain dengan syarat parti itu bertapak di Sarawak.

“Namun, apa yang perlu diberi tumpuan sekarang ialah mengesahkan pembentukan GPS termasuk proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” katanya.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu menambah, perjuangan GPS jelas ke arah pembangunan rakyat dan negeri ini secara keseluruhannya.

“GPS juga mengambil pendekatan mesra dengan kerajaan persekutuan yang di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH),” ujarnya lagi.

Pada Jun 12 lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan keputusan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan membentuk GPS berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan sebulat suara empat parti iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar BN dengan menubuhkan GPS adalah demi ‘survival’ politik dan kelangsungan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

Keputusan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira perkembangan politik semasa khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 9 lalu.

GPS yang dibentuk akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk kepentingan nasional serta kepentingan negeri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

Dalam PRU14 lalu, BN berjaya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan PBB menang 13 kerusi sementara PRS (3), PDP (2) dan SUPP (1). — DayakDaily