KUCHING, Nov 20: Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) disarankan segera mempromosikan dan memasarkan gabungan itu kepada penduduk negeri ini sebagai pengganti Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Penganalisa politik, Datuk Peter Minos berkata demikian berikutan GPS ketika ini hanya mempunyai tempoh masa selama dua tahun lagi bagi menghadapi pilihanraya negeri.
“Pilihanraya negeri pada 2021 bukanlah terlalu jauh. Tempoh selama dua tahun bagi mempromosi dan memasarkan GPS adalah cukup panjang tetapi ianya perlu mula dilakukan dengan segera, serius dan bersunguh di seluruh Sarawak samada di bandar atau luar bandar,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Peter juga menyarankan GPS dalam usaha itu untuk mensasarkan penduduk luar bandar yang ramai masih kurang jelas dengan perjuangan dan visi gabungan parti politik baru terbabit berbanding penduduk bandar yang sudah kerap mendengar dan mengetahui mengenai GPS.
Selain itu GPS perlu mencari kaedah yang membolehkan penduduk Sarawak mula melupakan BN terutama di luar bandar berikutan BN telah diterima mereka bagi suatu tempoh masa yang panjang.
“GPS perlu menyakinkan orang Sarawak yang BN sudah tiada dan memberikan sebab yang baik mengapa GPS pula yang mengambil alih (kepimpinan) Sarawak,” katanya.
Peter bagaimanapun yakin GPS akan mampu melakukan semua usaha ini dalam dua tahun kerana mereka terdiri dari ramai ahli politik yang berpengalaman.
Selain itu, beliau meminta GPS tidak memandang remeh kenyataan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menawan Sarawak pada pilihanraya negeri 2021.
“Ini tidak boleh dipandang remeh dan GPS mesti tidak membenarkan PKR dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari Malaya dari memasuki dan memerintah negeri ini,” katanya.
Beliau menambah Sarawak perlu diperintah orang Sarawak sahaja kerana ketika inipun negeri ini telah dilayan pemimpin dari Malaya dengan tidak adil dan perkara terbabit sudah diketahui ramai serta tidak perlu dijelaskan dengan lanjut. — DayakDaily