GPS selesa membentuk gabungan dengan mana-mana parti kecuali PH — Abdul Karim

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (19 Okt 2022).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) selesa membentuk gabungan dengan mana-mana parti kecuali Pakatan Harapan (PH), tegas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang yakin GPS boleh menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, GPS rapat dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang telah bersama-sama membentuk kerajaan sebelum ini.


“Saya sangat yakin bahawa GPS akan menang besar pada PRU15, dan akan membantu memastikan kerajaan seterusnya adalah kerajaan yang stabil.

“Sebarang tawaran bagi pembentukan kerajaan nanti kita serahkan kepada Premier Sarawak serta pemimpin-pemimpin tertinggi dari empat komponen parti dalam GPS,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Perasmian Dapur Belia Dan Usahawan Sempena Sambutan Hari Belia 2022 di Dataran Perayaan di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, berdasarkan pemerhatian adalah agak sukar untuk satu-satu parti memenangi secara mutlak bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU15 nanti.

Justeru katanya, kerajaan akan dibentuk melalui gabungan beberapa parti dan GPS bakal memainkan peranan besar dalam penubuhan kerajaan baharu.

Mengimbau kembali PRU14 kata Abdul Karim, PH telah memenanginya dan telah menganggap GPS (ketika itu BN Sarawak) sebagai pembangkang.

“Kita (Kerajaan Sarawak) diganggu dan banyak projek telah dibatalkan. Kita masih ingat semua ini.

“Pada masa ini kita rapat dengan semua parti politik kecuali PH,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily