GPS sedia deposit RM10,000 beri kemudahan B40 miliki rumah

Abang Johari (empat dari kiri) menyempurnakan upacara secara simbolik pecah tanah Vista Perdana Fasa 3 di Miri.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Nov: Kerajaan Negeri tidak takut menyediakan peruntukan deposit RM10,000 bagi pembeli rumah kerana rezeki Sarawak sudah bertambah, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, ia juga satu jalan penyelesaian bagi membantu rakyat khususnya yang berpendapatan rendah golongan B40 untuk memiliki rumah.


Apabila Sarawak ada rezeki, katanya, kerajaan menguruskan ekonomi serta kewangan dengan baik dan keuntungan tersebut diberi balik kepada rakyat.

“Sekarang saya jadi ketua menteri dan saya cari jalan untuk menyelesaikan masalah ini dan akhirnya saya membuat keputusan bahawa deposit rumah biar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bayar.

“Ia dilaksanakan melalui satu syarikat kewangan Mutiara Mortgage And Finance. Apabila pembeli dapat pinjaman perumahan, deposit dibayar maka mereka dapat kunci rumah.

“Pembeli akan membayar pinjaman tiap-tiap bulan dengan syarat memanglah rumah menjadi kolateral,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Kumpulan Syarikat Naim (Naim) serta Majlis Pecah Tanah Vista Perdana Fasa 3 di Miri hari ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan GPS juga memiliki Program Pembesaran Kampung yang dilaksanakan Jabatan Tanah Dan Survei(JTS).

Katanya, ia adalah polisi baharu kerajaan negeri yang diperkenalkan pada tahun lepas dari sudut membangunkan rumah untuk rakyat.

“Apabila kita bangunkan kawasan baru untuk rakyat kita terpaksa tembok tanah, bekalkan utiliti seperti elektrik dan air, bina jalan serta parit konkrit.

“Dan apabila siap, pembeli hanya bayar harga rumah dengan kos bagi menyediakan kemudahan asas ditanggung oleh kerajaan GPS,” katanya.

Ujar Abang Johari, kebiasaannya kos bagi menyediakan kemudahan asas bagi satu lot adalah RM150,000 dan kos rumah lebih kurang RM150,000.

“Apabila mereka dapat rumah yang dibangunkan di bawah program ini, pembeli hanya membayar RM150,000 dan yang lain kerajaan tanggung,” katanya.

Menurut beliau, Program Pembesaran Kampung telah dilaksanakan di Kawasan Kemuyang di Sibu, Sungai Bedaun di Kuching dan sekarang di Bintulu yang menyediakan 7,000 lot rumah.

Projek Vista Perdana merupakan salah satu projek perumahan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh SPNB, berkeluasan 296 ekar di Miri yang telah bermula dari tahun 2006.

Pembangunan projek ini dilaksanakan secara berkelompok melalui tiga fasa, dengan fasa satu telah siap pada tahun 2010 dan fasa dua telah siap dibina pada tahun 2018, hasil kerjasama dengan Naim.

Sejurus selesai upacara, Abang Johari turut merasmikan Kompleks baharu Sekolah Sri Mawar

Turut hadir Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia Dato Sri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin. — DayakDaily