GPS pandang serius komen provokatif di media sosial

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 20 Dis: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memandang serius penularan satu komen di platform media sosial yang telah menimbulkan salah faham terhadap gabungan parti ini.

Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, akaun tersebut yang menggunakan logo parti GPS itu telah mengeluarkan komen berbentuk provokatif terhadap keharmonian masyarakat pelbagai agama di Sarawak, dengan mengaitkan agama Islam dan bangsa Melayu secara spesifik.

GPS tegas Nanta menafikan sekerasnya penglibatan gabungan parti ini dengan pemilik akaun berkenaan yang jelas telah menyalahgunakan logo GPS.


“Ia merupakan satu tindakan terdesak kumpulan tertentu untuk memberi imej buruk kepada GPS selepas kemenangan besar parti ini pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 baru-baru ini.

“Pihak tidak bertanggungjawab ini sekali lagi telah menggunakan isu agama bagi mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan pengundi bukan beragama Islam dan rakyat berbangsa Cina yang kembali memberi sokongan kepada GPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Nanta menyeru masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik kotor yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan itu boleh memecah belahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum di negeri ini.

“Menyebarkan hasutan dan propaganda melalui kecanggihan teknologi dan media sosial sudah seringkali dijadikan modal oleh golongan ini.

“Tetapi GPS yakin rakyat di negeri ini sudah semakin bijak dan matang untuk berfikir secara rasional untuk tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilemparkan,” kata Nanta. ― DayakDaily