GPS jaga kebajikan dan utamakan rakyat, kata Mawan

Mawan (empat dari kiri) bersama penerima-penerima geran MRP di Pejabat Daerah Pakan.

KUCHING, Jun 16: Adun Pakan Tan Sri William Mawan menyeru rakyat Sarawak untuk terus menyokong kerajaan GPS pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Katanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbukti selama ini telah menjaga kebajikan dan memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak.

“Pilihanraya Negeri Ke-12 Sarawak akan diadakan tidak lama lagi dan seluruh rakyat Sarawak, terutamanya ketua kaum, ketua masyarakat dan penduduk setempat harus terus menyokong kerajaan GPS,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di DUN Pakan di Pejabat Daerah Pakan hari ini.

Mawan yakin, dengan sokongan padu masyarakat setempat, Pakan akan terus melangkah ke hadapan di bawah kerajaan GPS.


Tambah beliau, lebih banyak pembangunan boleh dicapai dengan menyokong kerajaan yang sedia ada.

Mawan juga mengucapkan terima kasih kepada semua golongan masyarakat yang telah mematuhi semua prosedur operasi ‘standard’ (SOP) disepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masyarakat rumah panjang, khususnya di Pakan telah menunjukkan tahap kerjasama dan displin yang tinggi sepanjang tempoh PKP dan PKPP dan diharap ianya akan berterusan sehinggalah tamatnya episod Covid-19 di Sarawak nanti,” ujar Mawan.

Pada majlis tersebut, sebanyak 45 JKKK dan Biro Wanita termasuk 13 PIBG di DUN Pakan menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM800,000 geran MRP ADUN Pakan. — DayakDaily