GPS hormati dasar dan prinsip pemilihan calon di DUN Batu Danau

Asfia (empat dari kanan) pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan dan Dana Untuk Surau di Limbang. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 1 Dis: Masyarakat Bisaya diseru agar terus bersatu dan teguh menyokong calon yang telah dipilih Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, jika kaum Bisaya tumbang tiada suara wakil masyarakat Bisaya di DUN Sarawak.

“Kita berterima kasih kepada saudara, sahabat dan keluarga daripada masyarakat Iban di DUN Batu Danau kerana menyokong dan bekerjasama dengan bekas calon.


“Selain itu, kita juga menghormati dasar dan prinsip menerima calon daripada kaum Bisaya yang minoriti di DUN Batu Danau menjadi wakil untuk menyuarakan keperluan dan mengetengahkan masalah-masalah di DUN Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Simbolik Penyerahan Bakul Makanan dan Dana Untuk Surau di Hotel Purnama Limbang pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan penduduk bahawa pada Pilihan Raya Negeri Ke12 (PRN12) akan datang ini GPS menggunakan logo burung kenyalang yang tertulis Gabungan Parti Sarawak.

Katanya, calon GPS telah terbukti dan menunjukkan kecemerlangan serta keprihatinannya terhadap kebajikan rakyat.

“Banyak parti menunjuk minat untuk bertanding di DUN Batu Danau, tetapi tidak pernah mengendali dan memegang tampuk pemerintahan kerajaan.

“Ini bermaksud calon dari parti pembangkang ini tidak mempunyai pengalaman dalam urustadbir kerajaan,” ujarnya.

Pada majlis itu sebanyak 7 buah surau menerima dana dan diadakan juga penyerahan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang memberitahu Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan kadar jaringan telekomunikasi di Daerah Limbang ini demi keperluan rakyat.

“Isu capaian telekomunikasi akan dapat diselesaikan secara beransur-ansur.

“Manakala, isu jalan raya dan jambatan di kawasan Ulu Medamit turut dalam perancangan akan dibina secara berfasa dan melalui beberapa proses tender,” katanya.

Sehingga kini di DUN Batu Danau terdapat 37 tempat telah terpilih dengan 16 tempat bagi Program Sarawak Linking Urban Rural and Nation (Saluran-MYSRBN) di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak dan 21 tempat lagi di bawah Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan. — DayakDaily