GPS buat laporan polis, nafi keluarkan kain rentang PRU15 tertulis ayat sensitif di Bau

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, 13 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat laporan polis menafikan ada terlibat berkenaan kain rentang tertulis perkaraan sensitif yang dipasang di kawasan Serikin dan Stass di Bau.

Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Supt Douglas Nyeging Taong berkata kain rentang tersebut dilaporkan tertera tulisan ‘Bijagoi Tolak Mordi Tipu Hilang Tidor Gagal’ dan ‘Kita Jaga Negeri Kita Tolak DAP”.

“Satu laporan polis dibuat oleh GPS dengan tujuan menegaskan yang pihak GPS tiada kaitan atau pengetahuan mengenai kain rentang tersebut,” katanya.


Beliau berkata siasatan lanjut berhubung kejadian masih giat dijalankan.

Sementara itu, sebanyak enam laporan polis keseluruhan diterima di seluruh Negeri semalam.

“Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat di mana beberapa bendera sebuah parti telah dirosakkan dan dipatahkan di Bintulu,” katanya.

Kesalahan-kesalahan lain yang dilaporkan adalah kes merosakkan bahan kempen, tiang bendera dan memasang bendera atau bahan kempen di tempat yang tidak sepatutnya.

Selain itu, sebanyak 303 permit ceramah dan kempen diluluskan polis.

“Pesuruhjaya Polis Sarawak juga ingin menasihatkan parti politik untuk mengingatkan ahli-ahli mereka sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya. — DayakDaily