GPS bercadang tubuh saluran televisyen tersendiri untuk Sarawak

KUCHING, 26 Jan: Kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) bercadang mewujudkan saluran televisyennya sendiri bagi menampaikan maklumat, berita dan program kandungan tempatan kepada rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata rancangan tersebut sedang dalam perbincangan, memandangkan Sarawak adalah negeri pembangkang dibawah pemerintahan GPS.

Saluran televisyen dibawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan adalah dibawah kerajaan pusat Pakatan Harapan (PH).

“Daripada sudut televisyen, ianya sedang dalam perundingan ketika ini kerana masalahnya ialah saluran. Kita (GPS) mesti ada saluran televisyen kita sendiri,” katanya ketika Sesi Townhall Bersama Ketua Menteri dan Perasmian Seminar GPS Zon 1 di Pusat Konvensyen Penview di sini hari ini.

Sebahagian daripada ahli GPS yang kelihatan menghadiri Sesi Townhall Bersama Ketua Menteri.

Abang Johari berkata dengan mewujudkan saluran televisyen milik GPS, pihaknya dapat menyampaikan maklumat dan berita kepada orang ramai di negeri, ini disamping menyiarkan pelbagai program televisyen yang berkaitan kandungan tempatan.

“Mungkin nanti kita akan ada siaran berita selama 15 minit iaitu setiap pukul 7 dan 10 malam dan kemudian menyiarkan program televisyen tempatan termasuk kesenian, tempat menarik, budaya, masakan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila mengulas soalan dari ahli GPS, samada gabungan terbabit akan mengikut tindakan pemimpin dan wakil rakyat pembangkang di Sarawak, yang menyediakan peruntukan yang besar bagi menubuhkan kumpulan cybertroopers untuk memanfaatkan laman sosial sebagai media berkempen.

Abang Johari berkata sebagai pengerusi GPS, beliau memberi kebenaran kepada para pemimpin gabungan terbabit untuk mengunakan budi bicara mereka sekiranya mahu menubuhkan pasukan cybertroopers masing-masing. — DayakDaily