GPS bawa pembangunan drastik dalam 3 tahun, kata Francis

Francis (lima dari kanan) menyerahkan cek MRP kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 24 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) ternyata sebuah gabungan parti yang telah berjasa dan membuat perubahan drastik dalam pembangunan walaupun baru berusia tiga tahun.

Menurut Menteri Muda Kesejahteraan Awam Datuk Francis Harden Hollis, GPS berjaya mendapatkan hak cukai dari hasil minyak dan gas.

Oleh itu, katanya, hasil tersebut digunakan untuk pembangunan projek-projek besar di negeri ini.


Berhubung Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), Francis yang juga penyandang kerusi DUN Simanggang menggesa setiap tuai rumah membantu menerangkan polisi kerajaan yang terus mengutamakan rakyat Sarawak.

“Peringatan ini dibuat berdasarkan kemungkinan besar kempen secara rumah ke rumah dalam kuantiti yang ramai tidak dibenarkan.

“Tanggungjawab tuai rumah melihat secara kehadapan potensi pembangunan di kawasan masing-masing secara berterusan dan mengetahui siapa yang menyalurkan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa upacara penutupan program “Agriculture Community Outreach” kali ke-7 di Rh Empol, Sungai Tenggak C di Undop, Sri Aman.

Diselitkan juga majlis penyerahan cek projek kecil luar bandar (MRP) kepada enam buah rumah panjang dan Biro Wanita.

Pada majlis tersebut juga diserahkan lima pokok tambak Durian Musang King kepada 163 keluarga daripada 12 buah rumah panjang di kawasan Sungai Tenggak dan Menalang, Undop.

Ia membabitkan 815 tambak Durian Musang King yang akan ditanam secara individu oleh setiap keluarga. — DayakDaily