Golongan OKU digalak manfaatkan skim S1OKU1P untuk ceburi bidang peniagaan

Nanta (kiri) menyerahkan Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM kepada usahawan Nasi Lemak Bujang Dekk's Matt, Mohd Nor Abdullah di Amber Business Plaza berhampiran Kedai Kek LRT Cheras, di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Golongan Orang Kelainan Upaya terus digalakkan untuk menceburi bidang perniagaan dalam usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan itu dengan memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan termasuk Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P)

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata skim itu yang disediakan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan membolehkan golongan tersebut mendaftarkan perniagaan baharu atau memperbaharui pendaftaran perniagaan mereka secara percuma.

Katanya, kemudahan terbabit merupakan sebahagian daripada komitmen agensi berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.


“Inisiatif S1OKU1P bertujuan menggalakkan golongan istimewa ini menceburi bidang perniagaan secara sah di sisi undang-undang, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi mereka.

“Melaluinya, golongan OKU boleh mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka di SSM secara percuma bagi sebuah perniagaan yang diusahakan mereka,” katanya kepada pemberita, selepas menyerahkan Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM kepada usahawan Nasi Lemak Bujang Dekk’s Matt, Mohd Nor Abdullah di Amber Business Plaza berhampiran Kedai Kek LRT Cheras, di sini hari ini.

Nanta (dua dari kiri) bertanya khabar usahawan OKU, Mohd Nor Abdullah (dua dari kanan) ketika berkunjung ke Gerai Dekk’s Matt Nasi Lemak Bujang di Cheras, Kuala Lumpur.

Kisah Mohd Nor, yang cacat kedua-dua tangannya sejak lahir, tular di laman sosial berikutan kegigihannya mengusahakan perniagaan nasi lemak bagi menyara kehidupannya.

Malah, kisah kegigihannya menjadi motivasi kepada masyarakat kerana tidak menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai halangan untuk mencari rezeki, termasuk menceburi bidang perniagaan.

“Kegigihan Dekk’s Mat memberi inspirasi dan menyuntik semangat kepada kita semua untuk meneruskan kehidupan, terutama dalam keadaan serba mencabar ketika ini.

“Kerajaan, khususnya KPDNHEP sentiasa komited untuk membantu membina semula ekonomi domestik kita, terutama dalam memudahkan urusan perniagaan di negara ini, termasuk peniaga kecil seperti Dekk’s Mat,” kata Nanta.

Beliau berkata, pendaftaran peniagaan dengan SSM secara tidak lansung memberikan keyakinan kepada pelanggan untuk berurusniaga selain dapat membuka peluang untuk golongan OKU ini mengembangkan potensi peniagaan yang diusahakan.

“Memiliki sebuah perniagaan yang sah amat penting bagi setiap usahawan, termasuk golongan OKU bagi membolehkan mereka memenuhi syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan latihan kemahiran, kemudahan pembiayaan dan pelbagai inisiatif lain disediakan kerajaan,” katanya.

Setakat 31 Oktober 2020, sebanyak 12,161 perniagaan berjaya didaftarkan di bawah S1OKU1P, dengan 1,686 golongan OKU memanfaatkan skim itu sepanjang 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

“Ia peningkatan empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan kita mengunjurkan perangkaan itu terus mencatatkan peningkatan hingga akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, bilangan OKU yang memanfaatkan skim ini juga dilihat masih rendah iaitu hanya pada kadar 2.4 peratus berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu seramai 581,265 pada 31 Oktober 2020,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar lebih ramai golongan terbabit memanfaatkan kemudahan berkenaan, dan seruan tersebut amat signifikan sempena Sambutan Hari OKU Peringkat Antarabangsa 2020 esok. — DayakDaily