Goh, anak Sarawak pertama dilantik Ahli Lembaga Pengarah INSKEN

Wan Junaidi (kanan) menyerahkan surat lantikan kepada Goh.

KUCHING, 3 Ogos: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) hari ini melantik Datuk Goh Leng Hua sebagai Ahli Lembaga Pengarah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) yang baharu.

Dengan pelantikan itu, Goh merupakan anak Sarawak yang pertama menjawat jawatan tersebut.

Menteri MEDAC Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Goh berpengalaman luas dalam bidang undang-undang dan juga perniagaan.


“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan masih memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).

“Dengan pengalaman luas ini diharap dapat membantu visi dan misi INSKEN dalam memperkasakan lebih ramai lagi usahawan-usahawan baharu dan memperkasakan lagi INSKEN sebagai sebuah pusat kecemerlangan usahawan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, INSKEN akan terus komited dalam menyediakan latihan untuk usahawan dan koperasi sebagai satu bentuk sokongan kepada mereka.

Turut dilantik ke jawatan tersebut ialah Jeneral (B) Tan Sri Datuk Zulkiple Kassim , Kapten (B) Tuan Hazli Tuan Hassan, Datuk Zamri Salleh, Datuk Huan Cheng Guan dan Datuk Sham Shamrat Sen Gupta.

Wan Junaidi yakin kredibiliti kepimpinan Ahli Lembaga Pengarah INSKEN yang baharu ini akan memperkukuhkan lagi barisan pengurusan tertinggi sedia ada dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.-DayakDaily