Oleh Dean Awam
BINTULU, Julai 28: Orang ramai di PPR Bandaria Park di sini gempar dengan penemuan mayat seorang wanita di sebuah longkang di kawasan berkenaan, hari ini.
Mayat wanita berusia 44 tahun itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 8.45 pagi.
Sumber memberitahu, panik melihat keadaan itu, orang awam kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, petugas perubatan juga dihubungi bagi melakukan pemeriksaan ke atas mayat mangsa.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat wanita tersebut.
Ujarnya, siasatan awal di lokasi kejadian juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Buat masa ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diterima nanti,” katanya. — DayakDaily