Gempar, jumpa mayat bayi dalam kotak

Lokasi penemuan mayat bayi perempuan.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Nov 1: Penduduk yang menetap di sekitar Desa Ilmu di sini gempar dengan penemuan mayat bayi perempuan di kawasan tempat membuang sampah di taman perumahan berkenaan, hari ini.

Jurucakap polis memberitahu, mayat bayi perempuan yang sudah tidak bernyawa itu ditemui dalam keadaan masih bertali pusat kira-kira pukul 1.30 petang.


Katanya, orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk membuang sampah hairan melihat satu kotak yang diletakkan di situ.

“Dia yang pada mulanya menyangka benda dalam kotak itu sebagai patung kemudian terkejut apabila mendapati objek itu merupakan mayat bayi di dalam kotak tersebut.

“Panik dengan situasi itu, dia kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari.

Jurucakap sama memberitahu, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Katanya, mayat bayi itu kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini polis masih menyiasat individu yang bertindak kejam membuang bayi di kawasan berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan,” katanya. — DayakDaily