Gelanggang tenis berbumbung rancakkan pelancongan sukan di Singai

Henry (empat dari kiri) di Perasmian Gelanggang Tenis Dewan Belia Kampung Tanjung Singai.

Oleh Chris Bishop

BAU, 1 Mei: Kawasan Singai di Bau menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan sukan menarik kepada pengunjung.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep, selain fasiliti sukan, keindahan gunung-ganang dengan air terjun yang menarik adalah tarikan utama kepada pengemar aktiviti mendaki.


Bagi memudahkan pengunjung, kata Henry yang juga Adun Tasik Biru, beberapa ‘homestay’ telah wujud di kawasan Singai.

“Perancangan kita ialah untuk menjadikan Singai sebagai satu kawasan pelancongan sukan.

“Di Singai ada gunung-ganang yang sesuai untuk aktiviti ‘hiking’ dengan beberapa air terjun menarik seperti air terjun Beronang,” kata Henry.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perasmian Gelanggang Tenis Dewan Belia Kampung Tanjung Singai.

Henry (dua dari kanan) bersama pasangan Sap Jilan (kanan) mengalahkan pasangan Isai Raja dan Norman (7-5) di pusingan pertama Bau Tennis Championship 2024.

Berhubung fasiliti sukan, tambah Henry, Singai memiliki Dewan Badminton Tanjung Bowang yang dilengkapi penghawa dingin dan lantai sintetik.

Kini, katanya, Gelanggang Tenis (Berbumbung) Dewan Belia Kampung Tanjung Singai merupakan satu lagi tarikan kepada pengunjung.

Ujar beliau, perancangan seterusnya adalah untuk membina chalet atau hostel berkonsepkan rumah panjang berhampiran gelanggang tenis.

“Untuk perancangan di kawasan ini, kita mahu bina hostel berkonsepkan rumah panjang.

“Pengunjung yang bermalam boleh menikmati makanan tradisional seperti pansuh, sambal serai dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam pada itu ujar Henry, Dewan Belia Kampung Tanjung Singai bakal menjadi satu lagi pusat belia di Singai.

Katanya, ia memberikan kemudahan kepada belia untuk menganjurkan aktiviti sosial.

Henry mempamerkan aksi tenis di Dewan Kampung Tanjong Singai.

Jelas beliau lagi, pusat itu nanti membantu Sarawak melahirkan pemain tenis yang satu hari nanti boleh mengikut jejak ratu sukan terjun Dato Pandelela Rinong Pamg di peringkat antarabangsa.

“Kita guna gelanggang ini untuk kemudahan latihan bagi semua di sekitar Kuching dan Bau, tiada bayaran.

“Kita sediakan latihan, kita sediakan raket, kita sediakan bola, kita sediakan gelanggang.

“Harapan kita satu hari nanti lahir seorang pemain tenis bertaraf dunia,” ujar Henry.

Pada acara perasmian, turut diadakan Bau Tennis Championship 2024. — DayakDaily