GDW2019 pamerkan projek rekaan Universiti Teknologi Swinburne dan Curtin

Annuar (dua dari kanan) menyaksikan pameran rekaan yang diadakan di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 15: Acara Good Design Week (GDW2019) bermula Julai 14 hingga 17 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mempamerkan projek-projek rekaan universiti tersebut dan Universiti Curtin.

Menerusi acara ini, para pakar, ahli-ahli akademik, para pengkaji dan pelajar cemerlang dalam bidang rekaan dari kedua-dua universiti berkumpul dan berkongsi pengalaman masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada ucapan perasmian GDW2019 berkata acara tersebut selaras dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.

“Kebergantungan kepada sumber ekonomi konvensional di dalam pembangunan Sarawak mungkin tidak banyak membantu perkembangan era digital.

“Ekonomi digital semakin cepat berkembang dan ini bukan sahaja melibatkan ‘big data’, automasi dan ‘artificial intelligence’, tetapi juga ekonomi kreatif yang merangkumi animasi dan rekaan permainan,” katanya.

Teks ucapan Abang Johari dibacakan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Dalam usaha Sarawak menuju ke era ekonomi baru, tambah Abang Johari, seluruh rakyat negeri ini akan dibawa bersama dengan tanpa membelakangkan adat dan budaya.

“Kita mengunakan peralatan digital ini bukan sahaja untuk mempertahankan budaya dan tradisi, tetapi diperkembangkan agar dapat dinikmati semua,” katanya. — DayakDaily