Gawai Dayak dalam endemik Covid-19 beri kesedaran masa depan Sarawak terikat bersama

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

KUCHING, 31 Mei: Sambutan Gawai Dayak semasa endemik Covid-19 masih boleh menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa masa depan adalah terikat bersama dalam usaha membawa Sarawak ke arah kemajuan dan kemakmuran yang lebih adil dan saksama.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, dengan keadaan yang bertambah baik, ramai yang boleh balik ke kampung halaman untuk ‘bergawai’ bersama-sama dengan keluarga.

“Selain itu, masyarakat Dayak yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan mempunyai adat resam masing-masing tentu sekali dapat memainkan peranan yang begitu besar sekali dalam memperkayakan kebudayaan sebagai ciri penting dalam imej negeri dan negara yang tercinta,” katanya dalam perutusan Gawai Dayak 2022 hari ini.


Beliau turut berkata rakyat Sarawak harus berbangga kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini adalah hasil sikap toleransi dan semangat saling percaya mempercayai dalam kalangan rakyat daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama.

“Keunikan itu adalah kekuatan Sarawak yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan politik di negeri ini dan perlu dipelihara. Suasana muhibah ini dapat dilihat melalui kerjasama rapat antara semua kaum dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

“Justeru, saya berharap perpaduan dan suasana harmoni rakyat Sarawak akan terus kekal teguh dengan acuan sendiri. Dalam keadaan yang demikian, rakyat harus rasa bangga dengan kebolehan negeri ini mencapai tahap pembangunan dan kemajuan yang amat memberangsangkan,” ujarnya.

Sambutan Hari Gawai Dayak secara tahunan merupakan cuti umum di Sarawak dan majlis keagamaan dan sosial yang diiktiraf sejak tahun 1957.

Sambutan ini disambut sebagai hari kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah-ruah dan masa untuk merancang musim penanaman yang baru.

Pada musim Gawai Dayak, pelbagai aktiviti akan diadakan di rumah panjang atau kampung masing-masing seperti pertandingan ratu cantik, permainan sukaria terutamanya untuk kanak-kanak, pertandingan Kumang dan Keling, pertandingan tarian tradisi, hidangan makanan yang istimewa dan sebagainya mengikut kreativiti masing-masing. — DayakDaily