Gara-gara disangka babi hutan, seorang lelaki maut terkena tembakan

Keadaan mangsa yang maut terkena tembakan.
Advertisement

LAWAS, Feb 24; Gara-gara disangka seekor babi hutan, seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui mati selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang pemburu di sebuah kawasan lereng bukit di Ladang Kelapa Sawit, Jalan Samling di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Diki dan berasal dari Long Bawan, Indonesia, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Lawas, Dsp. Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa menemui tiga kesan lubang tembakan pada tepi badan sebelah kirinya.

Advertisement

Menurut beliau, satu laras senapang patah juga ditemui di sebelah mayat mangsa dan peluru senjata tersebut turut dirampas.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Lawas untuk tindakan lanjut.

“Si pemburu yang juga merupakan seorang petani telah membuat laporan berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Zainal memberitahu, kes berkenan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8, Akta Senjata Api 1960. — DayakDaily

Advertisement