Galeri Melanau yang pertama diwujudkan di Mukah

Abdul Yakub (duduk tengah) pada Seminar Negeri Tua Melanau Siri 1 di Mukah. Foto: Ukas
Advertisement

MUKAH, 29 Mac: Pusat Penyelidikan Melanau (PPM) yang diwujudkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah bakal menjadi pusat penyelidikan, dokumentasi dan galeri Melanau yang pertama di Bahagian Mukah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Adun Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, ketiga-tiga peranan utama PPM ini memfokuskan perkara yang berkaitan dengan Melanau seperti sejarah, sosioekonomi dan budaya masyarakat itu.

Jelasnya, ia bertepatan dengan objektif penubuhan PMM iaitu untuk memupuk jati diri dan pemahaman yang berterusan di kalangan masyarakat Melanau mengenai budaya serta sejarah dan seterusnya melonjak dan mengukuh kedudukan komuniti Melanau dalam masyarakat khususnya di Sarawak.

Advertisement

“Oleh itu, penganjuran pertama secara kerjasama antara UiTM dan Persatuan Melanau ini merupakan satu permulaan kerjasama yang sangat baik dalam melestarikan sejarah serta budaya masyarakat Melanau.

“Saya berharap kerjasama ini dapat kita teruskan dan akan terus mencipta banyak kejayaan di masa depan,” ucapnya semasa merasmikan Seminar Negeri Tua Melanau Siri 1 di Bilik Seminar Kingwood, Mukah semalam.

Tambah Abdul Yakub, usaha ini juga dilihat mampu memantapkan lagi peranan universiti ini bukan sahaja sebagai salah satu pusat kecemerlangan ilmu, malah menjadi platform jalinan serta kerjasama bersama masyarakat tempatan.

Jelas beliau, sesi seminar dan dialog itu akan diteruskan lagi bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh Bahagian Mukah dan lokasi seterusnya adalah Oya, Dalat, Igan, Balingian serta Belawai dan Tanjung Manis.

“Saya mendoakan usaha ini nanti akan berjaya membongkar khazanah-khazanah silam Melanau seperti penemuan artifak, salasilah, manuskrip dan pelbagai bahan yang mempunyai nilai sejarah.

“Bahan-bahan ini nanti diharapkan akan memberi naratif baharu kepada sejarah kaum Melanau yang amat disegani suatu ketika dahulu terutamanya kepada generasi-generasi akan datang,” tambahnya. — DayakDaily

Advertisement