Gabungan NGO Sarawak mahu kerajaan persekutuan jelaskan formula pemberian khas tahunan dibawah Perkara 112D

Sarawak Legislative Assembly Complex (file photo)

KUCHING, 30 Mac: Peruntukan Perkara 112C and 112D Perlembagaan Persekutuan adalah pra-syarat Sabah dan Sarawak untuk bersetuju dengan penubuhan Malaysia.

Menurut sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelanggaran pra-syarat ini adalah pelanggaran dasar penubuhan Malaysia dan tidak boleh diambil ringan oleh kerajaan persekutuan serta kerajaan Sabah dan Sarawak.

Gabungan ini merujuk kenyataan media Datuk Mohd Azis Jamman bertarikh Mac 24 2022 serta maklumbalas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan pada 25 Mac 2022 dan Presiden Sabah Law Society Roger Chin pada 26 Mac 2022.

“Antara isu-isu yang telah dibangkitkan adalah perjanjian antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah pada tahun 1970 adalah tidak mengikut prosedur yang betul dan merupakan penafian hak Sabah.

“Perjanjian tersebut yang tidak mengikut peruntukan Perkara 112D juga dijadikan rahsia kerajaan.

“Percanggahan kenyataan Menteri Kewangan dan Menteri bagi Hal-Ehwal Sabah Sarawak di mana Menteri Kewangan mengatakan bahawa formula 40 peratus tidak lagi terpakai tetapi Menteri Hal-Ehwal Sabah Sarawak mengatakan bahawa Sabah akan menerima pertambahan geran tahunan kerajaan persekutuan sebanyak lima kali ganda,” kata 8 NGO dalam gabungan tersebut dalam satu kenyataan media hari ini.

Tiga lagi isu lain tambah gabungan itu lagi ialah berhubung kenyataan Dr Jeffrey mengatakan kerajaan Sabah menuntut penyemakan semula formula 40 peratus [Perkara 2(1), Bahagian IV, Jadual 10, Perlembagaan Persekutuan] serta tunggakan bagi bayaran peningkatan 7.5 peratus sejak dari tahun 1974; kedua, ketiadaan kajian semula peruntukan tersebut yang dikehendaki dibawah Perkara 112D; dan ketiga, peringatan peruntukan tersebut adalah untuk memenuhi keperluan khas Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan infrastruktur dan pembangunan ekonomi.

Pemimpin daripada 8 NGO ini ialah Timbalan Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Edward Awan, Presiden Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) Paul Raja, Presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS) Samuel Suring, Setiausaha Agung
Persatuan Balang Balai Nyabong (BBN) DR John Brian, Presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem, Presiden Persatuan Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak (TAHABAS) Romuald Siew, Presiden Persatuan Masyarakat Salako dan Rara Sarawak (PERASA) Robert Umping dan Setiausaha Pertubuhan Hak Asasi Orang Asal Sarawak (SCRIPS) Michael M Jok.

Tegas gabungan ini lagi, jika apa yang dinyatakan adalah benar, maka tindakan pembetulan oleh kerajaan persekutuan bersama dengan kerajaan Sabah dan kerajaan Sarawak harus dilakukan dengan secepat mungkin.

“Isu utama disini ialah kekurangan dan ketinggalan pembangunan di Sabah dan Sarawak yang hanya boleh diselasaikan dengan agihan bajet kerajaan persekutuan yang adil.

“Juga perlu diingatkan disini ialah tujuan utama peruntukan Perkara 112C dan 112D ialah untuk mengimbangi pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Malaya.

“Oleh itu, formula dibawah Perkara 112C dan 112D harus ditafsirkan mengikut cara yang adil dan sakasama untuk memenuhi tujuan asal peruntukan itu,” kata gabungan itu. — DayakDaily