SRI AMAN, 31 Mac: Dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan sewenang-wenangnya mengambil tanah rakyat adalah satu pembohongan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, pengambilalihan tanah tersebut sebaliknya adalah untuk tujuan pembangunan infrastruktur yang seterusnya akan memberi kemudahan rakyat setempat.
“Pembangkang akan merasa tidak selesa dengan pembangunan pesat yang dibawa oleh kerajaan GPS. Justeru mereka sentiasa meracuni pemikiran rakyat agar membenci kerajaan dan memilih mereka.
“Namun mereka langsung tidak setanding dengan keupayaan kerajaan GPS yang ternyata konsisten dengan janji pembangunan,” katanya pada Simbolik Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah di Pejabat Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Bahagian Sri Aman di sini hari ini.
Pampasan tersebut dikeluarkan bagi pembayaran pampasan baki jarak empat Kilometer jalan di sepanjang projek jalan Ulu Paku dan kerja-kerja memasang paip dibawah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB).
Ia membabit 74 pemilik tanah di sepanjang projek tersebut dengan jumlah keseluruhan sebnagyan RM596,961.39.
Pada majlis tersebut, Francis turut menyatakan penghargaan beliau kepada JTS kerana telah berjaya menguruskan dan seterusnya menyerahkan pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat.
“Tahniah juga kepada penerima dan diharap mereka boleh memainkan peranan untuk membantu para kontraktor melancarkan perjalanan projek,” katanya. – DayakDaily