Formasi 3 Briged dan TNI-AD laksana latihan bersama

Pasukan tentera melakukan pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia.

SERIKIN, April 1: Formasi 3 Briged telah melaksanakan tinjauan bersama warga Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD) di pintu masuk sempadan Serikin-Jagoi Babang.

Tinjauan tersebut dilaksanakan dengan bantuan pasukan Batalion Ke-Sebelas Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) dan diadakan dari pukul 3 petang sehingga 7 petang.

Tinjauan yang diketuai oleh Panglima 3 Briged, Brig Jen Mohd Bustaman Mat Zin, dan Dankolakopsrem 121/ABW Brig Jen TNI Bambang Ismawan, telah dilengkapi dengan aktiviti sekatan jalan raya di pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia.


Di samping mengeratkan hubungan persaudaraan antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan TNI-AD, aktiviti yang dilaksanakan juga bertujuan unuk mengawal barang-barang terkawal dari bebas memasuki Malaysia atau Indonesia.

Bagaimanapun, tiada salah laku atau aktiviti jenayah dikesan di sempadan Serikin-Jagoi Babang pada waktu pengoperasian tersebut.

Turut hadir semasa tinjauan tersebut adalah wakil daripada IPD Bau dan pihak Kastam Indonesia. ā€” DayakDaily