‘Flyover’ di persimpangan Batu 4 dibuka kepada lalu lintas penghujung tahun ini

Lo (dua dari kiri) berbincang dengan Jurutera Jabatan Kerja Raya Bahagian Kuching Kenneth Kho (dua dari kanan) semasa lawatan kerja itu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Ogos: Jambatan ‘flyover’ di persimpangan Batu 4 Jalan Kuching-Serian akan dibuka kepada lalu lintas pada penghujung tahun ini.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, jambatan tersebut diharap dapat beroperasi pada bulan November 2020.


“Saya ada berita gembira untuk semua penduduk di Bandaraya Kuching: jambatan ini akan beroperasi pada penghujung tahun ini dan kita harap ia akan dibuka kepada lalu lintas pada bulan November ini.

“Oleh yang demikian, diharap semua dapat bersabar sehingga projek ini siap. Ia sudah tentu akan memberikan keselesaan kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja ke tapak projek di persimpangan Batu 4 di sini hari ini.

Tambah Lo yang juga ADUN Batu Kitang, pembinaan jambatan itu dihentikan sementara sejak Mac lepas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung semula secara berperingkat pada bulan Mei 2020.

Walaupun lewat daripada jadual asal, pihak kontraktor telah melaksanakan rancangan pemulihan dengan merancakkan aktiviti di tapak bina.

Menurut beliau, tiga lagi jambatan ‘flyover’ yang termasuk di dalam Pakej 2 Projek Jalan Pan Borneo dijadualkan siap pada bulan Jun tahun hadapan.

“Semuanya kita ada empat flyover di dalam pakej ini. Pembinaan tiga yang lain akan siap secara berperingkat dan kita menjangkakan semuanya akan siap pada bulan Jun 2021,” ujar beliau.

Tiga jambatan ‘flyover’ lain yang sedang dalam pembinaan sekarang adalah jambatan di persimpangan Batu 6, Batu 7 dan Batu 10.

Pakej 2 Jalan Pan Borneo melibatkan kos RM2.1 bilion iaitu dari Lundu sehingga ke Batu 10 Jalan Kuching-Serian. — DayakDaily